Thursday, April 23, 2009

Tanam pinang rapat-rapat..

23 April 2009 iaitu hari terakhir lawatan Dato' Hamid Nazaha sempat diiringi penulis dan beberapa sahabat.
Awal pagi, lawatan rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik kurang berkemampuan membuka tirai. Dalam siri lawatan ini, penulis melihat sendiri bagaimana Dato' Hamid begitu mesra melayan pesakit-pesakit yang ditemui. Diiringi ADUN Kahang, En. R.Vidyananthan membuat rombongan ini lebih meriah dan bermakna. Segalanya ringkas dan padat namun dilihat mencapai matlamat.
Program Sukan di Padang Paloh yang diadakan antara jam 3.30 ptg hingga 6.30 ptg dalam siri lawatan Setiausaha Politik DSHH ini amat bermakna bagi seluruh masyarakat Sembrong. Menarik sekali apabila beliau turut menyertai poco-poco yang dipandu oleh Kak Milah.
Warga Sembrong begitu akrab sebagai satu keluarga. Semangat muhibbah yang wujud begitu ketara dengan kehadiran ahli-ahli parti komponen dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat Cina dan India.
Selama tiga hari lawatan seluruh Sembrong dapatlah disimpulkan bahawa beliau orang yang sememangnya sesuai membantu Y.B DSHH dalam menghadapi pelbagai keperluan rakyat. Dengan kredibiliti dan kerendahan hati yang terserlah, warga Sembrong amat senang hati menerima kehadiran beliau.

Pantun kami tadi harap tersemat di sanubari..

Tanam pinang rapat-rapat
Biar senang puyuh berlari
Bila lagi warga Sembrong nak dapat
Didatangi Dato' Hamid,SetPol Menteri yang baik budi..

Terima kasih daun keladi
Jemput datang ke Sembrong lagi..

Tuesday, April 21, 2009

Tidak terlambat rasanya..


Malam 21/4/2009 berlangsung satu Majlis Ramah Mesra Setiausaha Politik kepada Y.B Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein (selepas ini di ditulis DSHH) bersama UMNO Bahagian Sembrong.


Masih tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian Sembrong yang dikasihi, Y.B DSHH dan jentera di atas kemenangan beliau sebagai Naib Presiden UMNO. Kemenangan untuk jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO Malaysia ini amat membanggakan kita warga Sembrong.


Dalam kabinet baru Perdana Menteri ke-6 pula Y.B DSHH dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,suatu portfolio yang penting dan agak mencabar.


Tahniah juga diucapkan kepada Mantan Ketua Puteri Sembrong yang kini Ketua Wanita UMNO Sembrong, Puan Noraslina Zainal Abidin yang dilantik menjadi Penolong Bendahari Wanita UMNO Malaysia. Kami amat berbangga dengan pencapaian beliau. Doa kami sentiasa mengiringi agar beliau terus sukses dan dilindungi Allah s.w.t.


Berbalik kepada pertemuan ramah mesra bersama Datuk Hamid Nazaha, Puteri mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas peluang duduk semeja berbincang serba ringkas tentang peranan kami. Terima kasih juga di atas kepercayaan dan segala buah fikiran yang dikongsi bersama.


UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia


Sunday, April 19, 2009

Program Kebajikan Puteri

Pada 18/4/2009 telah diadakan Program Kesihatan bersama pemimpin DUN Paloh di Dewan Orang Ramai Paloh.
Beberapa ahli jawatankuasa Puteri Bahagian telah turun padang untuk turut serta dalam program tersebut bagi memenuhi undangan pemimpin setempat selain mengikut Pegawai JASA Parlimen Sembrong membuat sedikit pemantauan di kawasan Kampung Muhibbah Paloh .
Peserta yang hadir masing-masing membuat pemeriksaan kesihatan yang diberi secara percuma. Selain itu peserta juga diberi taklimat dan seminar kesihatan serta pelbagai pendedahan tentang penyakit kronik dan kanser. Program yang berlangsung selama setengah hari ini penuh manfaat dan mendapat sambutan menggalakkan. Hampir 300 peserta hadir dalam program tersebut.
Dalam rangka program Puteri Sembrong sebenarnya telah dirancang juga program seumpama itu. Bagaimanapun, atas permintaan mendesak untuk terus melaksanakan kesinambungan program Menyusur Akar Puteri akan terlebih dahulu menjalankan fokus kebajikan yang mana ia adalah keutamaan kami.
Berdasarkan pemantauan dan respon yang diberi, aktiviti kebajikan tersebut perlu dilaksanakan
secepat mungkin bagi memastikan masyarakat setempat yang perlu perhatian akan mendapat bantuan sewajarnya.
Bagi pihak Puteri sendiri, apa yang mungkin mampu kami lakukan ialah menyediakan lorong atau menjadi jambatan kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan.
Semoga usaha yang sedikit yang akan kami laksanakan ini mudah-mudahan bakal mampu memberi sedikit sinar buat mereka.

Friday, April 17, 2009

Aktiviti terkini

Pertandingan bola jaring Piala Ketua Puteri Bahagian Sembrong akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 26 April 2009(AHAD)
Tempat:Padang KEJORA, Taman Sri Lambak
Masa :7.30 pagi

Penyertaan terbuka mengikut 12 zon dalam kawasan Parlimen Sembrong.

Sebarang pertanyaan, hubungi Saudari Fara di Pejabat UMNO Bahagian Sembrong.

Sekian untuk makluman.

Wednesday, April 15, 2009

TAHNIAH PUTERI

Salam perjuangan,
Terlebih dahulu tahniah kepada Perdana Menteri ke-6 Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menyenaraikan Ketua Puteri Malaysia, YB Datuk Rosnah Hj Abdul Rashid Shirlin dalam kabinet Malaysia yang baru sebagai Timbalan Menteri dalam portfolio Kesihatan.
Sebelum ini dengan suara dalam Parlimen yang wakil puteri miliki sudah menjadi satu penghormatan.
Amanah kepada Puteri akan kami dokong dan sokong agar kami generasi wanita muda mampu merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang menjadi aspirasi kerajaan-rakyat.
Menjadi tanggungjawab kami khususnya pemimpin sayap peringkat akar umbi memainkan peranan kerana kamilah yang paling dekat dengan masyarakat.
Kami akan pastikan semarak merah jambu (pink) mampu memberi impak terbaik dalam memperkasa UMNO.
Tahniah buat Wanita dan Pemuda atas perlantikan dan tanggungjawab kita sesungguhnya sangat besar.
Harapan kami Puteri juga,jangan ada yang cuba membuat spekulasi apabila Ketua Pemuda tidak dalam senarai kabinet. Peranan setiap sayap memang sudah sedia ada. Malah, setiapnya amat berat dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan situasi politik bergolak.
Percayalah, kami Puteri bukan tugasnya berpolitik semata-mata. Kami sedang mengisi misi dan visi untuk generasi masa depan agar bernafas lebih selesa di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Memetik kata YB Datuk Rosnah,dalam keadaan sekarang kalau perlu Puteri akan turun bersilat di gelanggang, jadi usah mencabar kami.
Tahniah Puteri..