Thursday, June 18, 2009

MENYINGKAP PENUBUHAN PUTERI UMNO

SEJARAH PENUBUHAN PUTERI UMNO
Penubuhan Putri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 10 Julai 2000 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO. Bagaimanapun tarikh 16 Oktober 2000 mencatat satu lagi sejarah bagi UMNO kerana Majlis Kerja Tertinggi bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO – satu lagi gerakan penting dalam parti.
Cadangan penubuhan Puteri UMNO ini diputuskan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Julai 2000. Majlis Tertinggi bersetuju secara prinsipnya menubuhkan Puteri UMNO bagi memenuhi keperluan golongan wanita muda yang berminat menyertai parti itu.
Pada 3 Ogos 2001 tercatat satu lagi sejarah dalam kamus parti UMNO apabila sayapnya, Puteri dilancarkan oleh YAB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Selepas berusia 55 tahun, akhirnya UMNO mengambil keputusan untuk ‘melahirkan’ seorang puteri bagi memantapkan barisan perjuangan yang sedia ada sejak 1946. Puteri UMNO yang diilhamkan sendiri oleh YAB Datul Seri Presiden UMNO, adalah pelengkap kepada Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO yang sedia ada.
Justeru, pada 9 April 2001 hari Isnin, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan kepada umum. Bagi merealisasikan Puteri UMNO sebagai barisan yang mampu bertindak secara profesional dalam parti di kalangan wanita muda, YB Datuk Azalina telah dilantik menjadi Ketua Penaja Puteri UMNO. Bersama beliau juga dilantik beberapa barisan Exco yang mampu mendukung cita-cita parti mengekalkan kedaulatan Melayu.
Puteri UMNO dicadangkan kepada wanita Bumiputera yang berusia 18 hingga 40 tahun tetapi setelah dibahaskan di dalam MKT, had umur yang dipersetujui ialah 18 hingga 35 tahun. Oleh yang demikian, setiap wanita warganegara Malaysia berstatus Bumiputera berusia 18 hingga 35 tahun boleh menjadi ahli Puteri UMNO.
Visi
Memastikan setiap wanita Melayu muda berumur 18 – 35 tahun menyertai Puteri UMNO dan mempertingkatkan jati diri mereka demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Manifesto • Puteri UMNO sebagai landasan untuk wanita Melayu muda untuk melibatkan diri secara aktif di dalam politik • Puteri UMNO bertindak untuk mencungkil, memupuk dan menyerlahkan identity wanita Melayu muda tanpa diskriminasi. • Puteri UMNO sebagai identiti generasi wanita Melayu muda yang cemerlang • Puteri UMNO sebagai gelanggang untuk mencungkil dan menggilap potensi kepimpinan wanita Melayu muda • Untuk menerapkan nilai-nilai positif sejagat dan meningkatkan kebolehan, keyakinan dan jati diri seseorang wanita • Bertindak sebagai ‘check and balance’ / pemantau di dalam UMNO dan masyarakat • Berperanan untuk membantu UMNO di dalam semua pilihanraya dan meneruskan ketuanan Melayu di Malaysia.

No comments:

Post a Comment